Anak tidak mahu menyusu dengan botol? Ikuti pengalaman kami di taska.



Antara cabaran penyusuan susu ibu sepenuhnya ialah anak tidak mahu menyusu dengan botol. Ibu mula panik kerana waktu cuti hampir habis , tetapi anak masih tidak mahu menerima botol.


Sebenarnya, ia perkara yang sama berlaku di Taska kami.  Setiap kanak-kanak lain cara penyelesaian dan tekniknya. Dan ia memerlukan  masa untuk kanak-kanak itu menyesuaikan diri. 

Penulisan kali ini kami ingin berkongsi pengalaman  bagaimana kami menguruskan 2 orang kanak-kanak yang  tidak mahu menyusu dengan botol. Kedua-dua kanak-kanak ini  masih menyusu badan.




Kisah pertama adalah seorang kanak-kanak lelaki bernama Iffat . Iffat adalah kanak-kanak termuda yang kami terima dahulu . Iffat seorang yang senang menyesuaikan diri tetapi ada masalah tidak mahu susu botol walaupun telah dilatih oleh ibu bapanya. Mungkin ini adalah kerana suasana taska yang berbeza menyebabkan iffat tidak mahu menerima botol.


Pernah iffat menangis tidak berhenti dan tidak mahu tidur mungkin kerana lapar dan kepenatan. Puas kami pujuk dan beri susu tetapi  iffat masih lagi enggan menerima susu yang diberi. Alhamdulillah, iffat jenis makan banyak jadi tidaklah dia kelaparan. Kami bersyukur kerana ibu bapa iffat masih lagi bagi peluang untuk kami mencuba .




Satu hari semasa iffat hendak terlena dan agak ‘mamai’ guru kami cuba menyuakan botol  di tepi mulutnya . Dan Iffat seperti  memuncungkan mulutnya untuk menghisap puting botol tersebut. Guru kami pun terus memasukkan botol tersebut ke dalam mulutnya.

Dalam kemamaian dan bantuan guru Iffat dengan lajunya menghisap botol sehingga habis susunya. Wah seperti mahu lompat bintang rasanya. Syukur Alhamdulillah.
Dalam seminggu jugalah kami mencuba banyak teknik dan teknik ini yang dapat membantu iffat. Lama-lama kelamaan iffat boleh menyusu biasa seperti rakan lain sebelum tidur.

Tips anak tidak mahu menyusu botol 1 : Cuba suakan puting dimulutnya ketika tidur atau separa sedar.



Kisah kedua adalah kanak-kanak  Eenara. Pada mulanya kami berkeyakinan tinggi kerana mengenangkan kes kejayaan Iffat. Akan tetapi, malangnya  sangkaan kami meleset. Teknik Iffat tidak berkesan untuk Eenara.


Eenara mudah tidur dan kami cuba menyuapkan botol, tetapi Eenara akan bangun dan menangis dengan kuat. Perkara ini berlarutan hampir seminggu . Setiap kali sesi minum susu, hati kami kami tidak berhenti  berdoa agar dimudahkan urusan Eenara ini.


Alhamdulillah, ibu bapa Eenara juga memberi kerjasama yang baik dan sering berhubung dengan guru. Guru kami juga meminta izin untuk memberi susu dengan syringe dan ibu bapanya pun tiada masalah dan memberi sokongan. Akan tetapi kami masih mahu melatihnya dengan botol agar dia dapat berdikari.



Satu hari sedang kami memberikan memberikan botol-botol susu pada kanak-kanak lain , Eenara datang mengambil botol susu rakannya dan cuba menghisap botol tersebut. Dia meniru rakan-rakanya yang lain!.Oleh kerana kasihan Eenara tidak minum susu dan kurang makan semenjak pagi, kami membiarkannya dan menolong menyuapkan pada Eenara.


Dan Eenara akhirnya menghisap botol susu itu sehingga separuh habis!!. Ya Allah, lagi lompat bintang kami kali kedua.Haha.
Kami terus memberitahu ibu bapa Eenara dan meminta maaf kerana beri botol susu rakannya. Rakannya itu adalah anak kepada pengetua taska,dan susu yang diminum adalah susu Dutch Lady yang pernah dibekalkan oleh ibu bapanya. Pengetua sangat berbesar hati dapat membantu.

Kami cuba memberi botol Eenara , tetapi Eenara masih inginkan botol susu rakannya. Jadi ibu Eenara terus membeli botol susu yang sama dengan rakannya pada hari itu juga. Botol susu tersebut adalah jenama COMOTOMO (Natural Feel Baby Bottle) ia memang direka khas mirip puting ibu. Semenjak itu , Eenara mula menyusu dengan botol bersama dengan rakannya yang lain. Alhamdulillah.

Tips anak tidak mahu menyusu botol 2 :
1.      Konsisten, biasakan dan dedahkan dengan rutin menyusu botol.
2.      Cuba beberapa botol yang mirip puting ibu seperti  COMOTOMO , MIMI JUMI dan sebagainya.
3.      Sabar dan jangan putus asa. Ia memang mengambil masa.
4.      Rujuk pada portal tentang penyusuan susu dan jadual yang betul agar anak tidak keliru puting botol dan tidak mahu puting ibu pula nanti.


Semoga kisah ini memberi semangat kembali kepada para ibu yang baru sahaja menimang cahaya mata dan sedang mengalami masalah ini . Semoga urusan puan dimudahkan ;).



Comments

Popular posts from this blog

PENDAFTARAN 2020 - TASKA PERMATA AS SAF TAMAN PUTRA PERDANA

7 Langkah memulakan "Toilet Training"