8 Tempat Menarik Bajet Berpatutan - Sesuai Untuk Kanak-Kanak




Pada penghujng tahun dan cuti sekolah ini , ramai ibu bapa mengambil kesempatan untuk bercuti dan melancong bersama anak-anak. Namun, pada penghujung tahun jugalah antara waktu yang paling banyak menggunakan wang kerana persediaan persekolahan anak-anak pada tahun hadapannya.

Namun begitu faktor tersebut tidaklah menghalang percutian, kerana terdapat banyak tempat yang menarik dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Bercuti dan membawa anak-anak bersiar juga adalah satu perkara yang perlu dilakukan untuk memberi pengalaman, pendedahan kepada anak-anak dan juga mengeratkan silaturrahim keluarga.

Oleh itu di sini kami ingin berkongsi , 8 Tempat Menarik di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang mengenakan bayaran masuk di bawah RM 10 dan sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.

1. Taman Botani Shah Alam.




Yuran kemasukan untuk dewasa adalah RM 3.00 manakala kanak-kanak RM 1.00  . Di sini terdapat pelbagai tarikan contohnya taman haiwan, rumah iklim , taman padi dan sebagainya. Sewaan basikal dan tren kecil juga disediakan bagi pelawat untuk bergerak antara satu tempat ke tempat yang lain.


2. Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.






Yuran kemasukan adalah percuma . Walaupun ianya perpustakaan , tetapi dibahagian kanak-kanak suasanyan meriah dan kanak-kanak aktif bergerak sesuai dengan fitrah mereka. Terdapat pelbagai pilihan buku kanak-kanak dan juga  program cuti sekolah , contohnya membuat seni kraf , bermain lego , sesi bercerita , mewarna dan lain-lain. Kanak-kanak boleh memilih untuk aktiviti yang mereka sukai dan yuran yang dikenakan adalah sangat minimum .

3. Santuari Ikan Sungai Chiling , Kuala Kubu Bharu




Jika ada kanak-kanak yang meminati ikan , bolehlah ke Santuari Ikan Sungai Chiling. Yuran kemasukan RM 1.00 . Walaubagaimanapun, terdapat trek yang perlu dilalui dan ibu bapa perlu membuat persediaan untuk mendukung anak. Kanak-kanak boleh bermain dengan ikan-ikan disitu kerana ianya sangat jinak dan suka mengelilingi pengunjung.


4. Pantai Morib , Banting.



Pantai Morib di pilih kerana lokasi yang terdekat dari lembah Klang . Jika menggunakan highway SKVE, perjalanan hanya memakan kurang dari 1 jam. Pantai Morib terbahagi kepada  2 bahagian pantai . Satu bahagian pantai yang boleh bermandi manda  , dan satu lagi pantai bertembok yang mempunyai taman permainan .

5. Taman Cabaran, Putrajaya




Anak anda sedang aktif memanjat ? Nah, ini adalah tempat yang sesuai . Yuran kemasukan untuk dewasa RM 6.00 dan kanak-kanak RM 3.00 . Cabaran disediakan mengikut tahap umur dan terdapat juga bahagian yang perlu menyewa peralatan memanjat dan keselamatan dengan harga yang berpatutan.


6. Ayer @8 , Putrajaya .



Berbasikal satu keluarga mengelilingi tasik sambil melihat panorama matahari yang kian terbenam , adalah aktiviti yang indah bersama keluarga. Terdapat juga kenderaan lain yang boleh disewa di Ayer@ 8 . Suasana yang santai dan melihat anak-anak bermain bubble sudah cukup merehatkan minda ibu bapa yag penat bekerja.

7. Taman Air KLCC, Kuala Lumpur




Kanak-kanak dengan air memang tidak dapat dipisahkan . Apakata bawa mereka bermandi manda di Taman Air  KLCC . Tiada yuran dikenakan . Setelah anak puas bermandi manda dan bermain permainan di taman permainan , para ibu  boleh mencuci mata pula di pusat membeli belah KLCC .


8. Taman Eko Rimba , Bukit Nanas, Kuala Lumpur.



Sesekali anak-anak perlu didedahkan menghargai dan mencintai alam semulajadi. Udara yang segar dan suasana yang menghijau baik untuk anak-anak .Kemasukan adalah percuma dan terdapat juga kemudahan seperti tandas , surau dan sebagainya. Jika bernasib baik , boleh terlihat monyet yang bergantungan di pohon yang pasti akan membuatkan anak-anak teruja.



Comments

Popular posts from this blog

Anak tidak mahu menyusu dengan botol? Ikuti pengalaman kami di taska.

7 Langkah memulakan "Toilet Training"

PENDAFTARAN 2020 - TASKA PERMATA AS SAF TAMAN PUTRA PERDANA